fb fb fb fb fb

PM terima kunjungan Gloria Macapagal Arroyo

KUALA LUMPUR, 14 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Filipina, Gloria Macapagal Arroyo di Parlimen.

Ketibaan Arroyo disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu membincangkan pelbagai perkara termasuk isu semasa termasuk mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori.

Malah, Filipina menzahirkan rasa kagum terhadap Kerajaan Perpaduan yang mengambil langkah segera dalam menguatkuasa Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

"Mereka kagum dengan kecepatan perubahan dasar yang dibuat dan semuanya kerana YAB melihat ianya perlu diubah dan Kerajaan Perpaduan Madani telah berjaya melakukan. Kerajaan sebelum ini banyak bercakap, berbincang tetapi dia tidak dapat melaksanakan, tapi Alhamdulillah kita dapat melaksanakan sebagai satu komitmen kita kepada rakyat," kata Azalina, di sini.

(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)
Datuk Seri Azalina Othman Said ditemui media selepas perjumpaan berkenaan di Parlimen)

Pada April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Media Baharu