fb fb fb fb fb

Dagangan Bursa Malaysia bercampur-campur pada urus niaga tengah hari

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 14 September- Bursa Malaysia mengakhiri sesi awal dagangan hari ini bercampur-campur.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.02 mata kepada 1,451.52 daripada 1,453.54 pada penutupan urus niaga Rabu.

Indeks utama dibuka 4.32 mata lebih rendah pada paras 1,449.22 dan kemudiannya berlegar antara 1,445.31 dan 1,455.09 di sepanjang sesi.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 406 berbalas 355, manakala 423 kaunter tidak berubah, 1,150 tidak diniagakan dan sembilan digantung.

Jumlah dagangan 1.63 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.

Seorang penganalisis berkata pasaran masih lagi mencerna data inflasi terbaharu Amerika Syarikat (AS), yang meningkat sedikit daripada jangkaan kepada 3.7 peratus untuk bulan Ogos dan ini mencetuskan kebimbangan kemungkinan satu lagi kenaikan kadar faedah pada bulan November.

Pada masa yang sama, pelabur juga bimbang tentang prospek ekonomi China selepas ramai ahli ekonomi menurunkan taraf prospek pertumbuhan negara berkenaan untuk tahun ini berikutan krisis hartanah dan kewangannya.

(Dagangan Bursa Malaysia bercampur-campur pada urus niaga tengah hari)

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Sime Darby naik tiga sen, masing-masing mencatatkan RM4.17 dan RM2.20, manakala Hong Leong Bank menambah 12 sen kepada RM19.94 dan CIMB tidak berubah pada RM5.70.

Axiata memperoleh enam sen kepada RM2.53 dan Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM9.99.

Bagi saham aktif, KNM menokok satu sen kepada 11.5 sen, Capital A mengembang empat sen menjadi 99 sen dan RGB meraih 2.5 sen kepada 31 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 merosot 2.36 mata kepada 10,383.47, Indeks FBM Emas susut 2.38 mata kepada 10,703.63 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 26.42 mata kepada 10,943.75.

Indeks FBM 70 mengukuh 47.98 mata kepada 14,136.32 dan Indeks ACE FBM meningkat 15.66 mata kepada 5,159.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 89.30 mata kepada 16,241.64, Indeks Tenaga susut 5.39 mata menjadi 875.02, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.01 mata kepada 172.16, manakala Indeks Perladangan menambah 46.26 mata kepada 6,975.17. -BERNAMA

Media Baharu