fb fb fb fb fb

Kekerapan tren LRT Kelana Jaya setiap tiga minit dijangka dicapai Oktober

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 14 September- Kekerapan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya setiap tiga minit dijangka dapat dicapai menjelang akhir Oktober tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sasaran itu selaras dengan penambahbaikan berterusan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan anak syarikatnya Rapid Rail selaku pengendali perkhidmatan rel utama di Lembah Klang.

Tiga tren baharu beroperasi mulai hari ini di LRT Laluan Kelana Jaya dengan kekerapan perkhidmatan laluan ketika ini kurang daripada empat minit pada waktu puncak.

"Tiga buah tren ini merupakan sebahagian daripada perolehan 27 unit tren baharu dengan Kumpulan tren pertama bagi LRT Laluan Kelana Jaya bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV27) bernilai RM1.72 bilion.

"Dengan penambahan tiga set tren baharu tersebut dan juga pelaksanaan inisiatif-inisiatif penyelenggaran Rapid Rail ke atas komponen-komponen kritikal, LRT Laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan purata sebanyak 44 buah tren pada waktu puncak, berbanding 38 buah tren sebelum ini,"jelas Anthony.

Anthony Loke berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau penerimaan tiga set tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen LRT Universiti, pagi tadi.

Terdahulu, beliau menaiki tren baharu itu di Stesen LRT Universiti ke Stesen LRT Pasar Seni dan beramah mesra dengan penumpang .

Bawah projek KLAV27, Prasarana dan Rapid Rail memperoleh 27 tren baharu dengan kumpulan tren pertama telah diterima secara berperingkat bermula September 2020.

Sebanyak 11 tren telah diterima setakat ini.

Baki 16 set tren akan diterima secara berperingkat dari bulan September tahun uini sehingga bulan Disember tahun depan.

LRT Laluan Kelana Jaya, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-25 tahun bulan ini telah memulakan operasi pada 1 September 1998.

Ia merupakan laluan paling sibuk antara jajaran rel di bawah kendalian Rapid Rail dengan purata 250,000 penumpang sehari.

Sementara itu, Anthony memaklumkan laporan nahas pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam akan dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan pukul 10.00 pagi esok.

Beliau berkata ia selari dengan ramalan dan harapan beliau supaya laporan itu dibentangkan kepada umum sebelum Hari Malaysia 16 September ini.

"Semua fakta kemalangan akan ada dalam laporan esok. Kita akan memuat naik laporan itu di laman web (Kementerian Pengangkutan) selewat-lewatnya pukul 10 pagi esok,"katanya.


(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke)

Media Baharu