LAWAS, 3 Januari - Pasangan raja sehari dari Kampung Gelapas, Trusan, Mohd Nasruluddin Asnan, 29, dan Nurul Azyyati Mohd Zainuddin, 27, dibayangi kebimbangan berikutan keadaan banjir yang melanda lokasi persandingan.
Kedua-dua mempelai itu hanya mampu berharap keadaan banjir tidak bertambah buruk agar majlis persandingan mereka dapat dilangsungkan seperti dirancang.
"Memang kami berdoa agar majlis esok dapat berjalan lancar. Perasaan bercampur baur kerana banjir ini berlaku di luar jangkaan," katanya ketika ditemui RTM.
Kebimbangan pasangan itu bertambah apabila paras air banjir dilaporkan sudah memasuki kawasan sekitar rumah, sedangkan persiapan majlis telah dibuat sepenuhnya termasuk pemasangan pelamin.
Kampung Gelapas merupakan antara kampung berisiko banjir di daerah kecil Trusan susulan kedudukannya yang berhampiran Sungai Trusan, sekali gus menjadikan penduduk terdedah kepada limpahan air ketika hujan berterusan.
