fb fb fb fb fb

Program Digital DEWI jana lebih RM1.026 juta jualan usahawan wanita B40, M40

Majlis Graduasi Digital DEWI dan Karnival Digital di Cyberjaya

CYBERJAYA, 3 Januari -Program Digital DEWI berjaya membuktikan bahawa latihan digital yang tersusun mampu menjana pendapatan sebenar apabila usahawan wanita B40 dan M40 mencatatkan jualan kumulatif melebihi RM1.026 juta dalam tempoh enam bulan.

Program anjuran QF4 Academy Asia dengan kerjasama Godigital Production itu mendapat sokongan Yayasan Hasanah, dengan pembiayaan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif QF4 Tech Asia Sdn Bhd, Puvanesvari Subramaniam, pencapaian jualan tersebut direkodkan hasil pemantauan selama enam bulan selepas peserta menjalani latihan dan bimbingan intensif dalam e-dagang.

"Sepanjang tempoh tersebut, peserta menjalani enam bulan latihan dan bimbingan, diikuti enam bulan pemantauan bagi menjejak penjanaan pendapatan mereka.

"Hasil pemantauan menunjukkan jualan kumulatif melebihi RM1 juta berjaya dicapai oleh usahawan wanita terlibat.

"Kami amat terharu dan gembira kerana kebanyakan mereka menjalankan perniagaan secara home-based, namun mampu memanfaatkan teknologi digital untuk menjana pendapatan yang sangat memberangsangkan," katanya.

Beliau berselepas Majlis Graduasi Digital DEWI dan Karnival Digital, yang berlangsung di Cyberjaya, hari ini, melibatkan peserta yang telah mengikuti Program Penjanaan Pendapatan Melalui e-Dagang Khas Untuk Wanita selama setahun.

Sepanjang tempoh program, peserta didedahkan kepada pelbagai kemahiran digital termasuk pemasaran dalam talian, penjenamaan, penghasilan kandungan serta penggunaan media sosial sebagai platform utama jualan.

"Program ini memberi tumpuan kepada cara menjalankan perniagaan dalam talian, termasuk teknik membuat siaran langsung, penghasilan dan penyuntingan video, serta reka bentuk kandungan digital untuk tujuan pemasaran.” kata Pengasas Godigital Production, Nandagobalan Vengettasamy.

Selain majlis graduasi, Karnival Digital DEWI turut menampilkan bazar usahawan yang memberi peluang kepada peserta memasarkan produk secara langsung kepada orang ramai, sebagai aplikasi sebenar kemahiran yang dipelajari.

Sebanyak 12 usahawan wanita cemerlang turut menerima Anugerah Cemerlang, manakala sokongan SEED disalurkan kepada usahawan wanita B40 terpilih bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan mereka.

TETITIA YUSOFF