fb fb fb fb fb

ONSA perkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian

Foto hiasan

KUCHING, 3 Januari - Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu dijangka memperkukuh kawalan keselamatan digital serta memastikan penggunaan media sosial lebih selamat, khususnya dalam kalangan golongan bawah umur.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, akta berkenaan meletakkan tanggungjawab keselamatan dalam talian bukan lagi sepenuhnya kepada ibu bapa, sebaliknya turut dipikul pengendali platform digital.

Pengendali platform diwajibkan memastikan pematuhan terhadap had umur pengguna serta memantau akaun kanak-kanak bagi mengelakkan pendedahan kepada kandungan berbahaya.

"Undang-undang ini memberi tanggungjawab kepada pengendali platform untuk memastikan mereka memantau sama ada sesuatu akaun itu milik kanak-kanak atau tidak. Pengguna berusia 16 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan, maka operator perlu bertanggungjawab.

"Pada masa sama, ibu bapa juga masih memainkan peranan penting. Akta ini diwujudkan bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bersempena dengan Bengkel Pembangunan Kepimpinan Untuk Usahawan Wanita Dayak di sini hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penguatkuasaan akta tersebut sebagai langkah meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan institusi keluarga.

ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI