KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grab Holdings, Anthony Tan bersama delegasi.
Datuk Seri Anwar menerusi hantaran Facebook memaklumkan, kunjungan itu membincangkan beberapa perkara termasuk pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang memberi manfaat terus kepada pemandu e-hailing dengan membantu kos operasi harian golongan itu.
"Langkah ini bukan sahaja meringankan beban malah memperkukuh peranan sektor e-hailing sebagai komponen penting dalam sistem pengangkutan awam negara.
"Saya turut menekankan kepentingan peranan dan sokongan yang perlu dimainkan oleh syarikat-syarikat multinasional yang mempunyai kapasiti besar seperti Grab," menurut hantaran itu.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan peranan dan sokongan yang perlu dimainkan syarikat-syarikat multinasional yang mempunyai kapasiti besar seperti Grab.
Perkara itu termasuk penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pembangunan kapasiti terkait penggunaan kecerdasan buatan (AI).
"Kerajaan mengalu-alukan komitmen dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini agar kebajikan pemandu dan penunggang Grab adalah terjamin," tambah kenyataan itu.
Pertemuan itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta delegasi Grab Holdings.