KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Barisan Nasional (BN) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Zionis Israel yang menahan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat Malaysia dan sukarelawan antarabangsa lain yang membawa mesej keamanan serta bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan menegaskan, misi flotilla merupakan usaha sah di sisi undang-undang antarabangsa, dengan tujuan menghulurkan bantuan, sokongan moral dan solidariti kepada rakyat Palestin yang terus dizalimi.
"BN turut menyokong penuh usaha Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan tegas melalui saluran antarabangsa bagi memastikan pembebasan segera rakyat Malaysia yang ditahan, di samping mendesak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap kekejaman Israel.
"BN juga menyeru negara sahabat, khususnya dalam kalangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk menyuarakan solidariti serta menggerakkan tekanan politik dan diplomatik terhadap rejim Zionis," menurut kenyataan itu.
Beliau juga menegaskan semangat kemanusiaan yang dibawa sukarelawan flotilla tidak akan dipatahkan dengan penindasan.
Justeru, rakyat Malaysia diseru untuk terus bersatu hati dan mendoakan keselamatan semua sukarelawan terbabit.