KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan dan berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa dalam menentang kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa negara ini komited memperkukuh solidariti global demi memastikan bantuan kemanusiaan segera sampai kepada penduduk Gaza yang terus dizalimi.
“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri. Suara kita akan terus bergema di jalanan, di pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau menambah, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara sahabat, dunia Islam dan gabungan kemanusiaan antarabangsa dalam melaksanakan misi bantuan serta mencari jalan ke arah keamanan sejati — bagi merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas, berdaulat dan bermaruah.
Anwar turut menyatakan penghargaan kepada rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama yang hadir pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam, bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.
“Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan semangat kasih dan keberanian. Mereka datang bukan kerana paksaan, tetapi atas dasar hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Inilah wajah sebenar Malaysia — bangsa berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan berterusan,” katanya.
Himpunan berkenaan turut diadakan bagi menyambut kepulangan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza serta memperkukuh solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.