PUTRAJAYA, 9 Oktober – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengadakan lawatan kerja sehari ke Nay Pyi Taw, Myanmar hari ini.
Perkara tersebut selaras dengan keputusan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang diadakan pada Julai lalu.
Beliau diiringi oleh Tan Sri Othman Hashim, Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan kerja itu merangkumi kunjungan hormat ke atas Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Negeri (SSPC) Myanmar serta pertemuan dengan Perdana Menteri dan Menteri Perancangan Kebangsaan SSPC, TYT U Nyo Saw, dan Menteri Luar Negeri SSPC, TYT U Than Swe.
“Semasa pertemuan dengan para pemimpin kanan SSPC Myanmar, YB Menteri Luar Negeri antara lain akan menyeru pelaksanaan penuh dan bermakna Kemufakatan Lima Perkara ASEAN (ASEAN Five-Point Consensus – 5PC), khususnya dari sudut penghentian keganasan, bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, serta dialog terbuka dengan para pemegang taruh Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, isu pilihan raya yang dirancang diadakan di Myanmar juga dijangka menjadi antara topik yang dibincangkan.
Malaysia menegaskan bahawa segala libat urus dengan pihak SSPC Myanmar diadakan di bawah kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN bagi menyokong keamanan, kestabilan, dan pembangunan negara tersebut.
“Malaysia kekal fokus dalam menggalakkan penyelesaian kepada krisis di Myanmar yang dimiliki dan diterajui oleh Myanmar, dengan sokongan penuh ASEAN,” jelas kenyataan itu lagi.
Lawatan kerja tersebut turut mencerminkan komitmen teguh Malaysia terhadap usaha ASEAN dalam memperkukuh keamanan dan penyelesaian damai di Myanmar.
“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, akan terus mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh Myanmar ke arah mencapai keamanan dan perdamaian kebangsaan melalui pendekatan yang terangkumi dan mampan,” katanya.