PUTRAJAYA, 23 November- Setelah setahun berlalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mengemudi Kerajaan Perpaduan dengan corak pentadbiran yang lebih tegas demi mengangkat semula martabat negara di mata dunia.
"Tahun pertama kita mengemudi bahtera ini pada awalnya sedikit terumbang-ambing tetapi dengan dasar yang jelas, selesaikan masalah-masalah asas rakyat.
"Cukup satu tahun, maknanya percayalah dengan mandat yang ada, tahun ini kita akan mula dengan lebih tegas, lebih jelas untuk bangunkan ekonomi negara dan keras menghadapi segala tentangan rintangan atau percubaan merosakkan sendi negara kita dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran kerajaan madani di Putrajaya.
Datuk Seri Anwar turut menzahirkan rasa bangga atas komitmen barisan Jemaah Menteri yang menekankan tatakelola baik dalam usaha menghentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.