fb fb fb fb fb

PM, Sultan Brunei bertemu di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi APEC

FOTO RTM

LIMA, 16 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bertemu di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini.

Datuk Seri Anwar berkata pertemuan itu membuka peluang untuk mereka menilai kemajuan dalam kerjasama yang terjalin.

“Alhamdulillah, baginda Sultan dan saya berpeluang menilai kemajuan kerjasama yang sedang giat berlangsung antara kedua-dua negara sahabat,” kata beliau dalam sidang media  bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan AELW APEC yang berakhir pada Sabtu, di sini.

Jelas beliau, peluang itu meliputi latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikondutor untuk belia Brunei.

Pertemuan ringkas tersebut turut menyentuh mengenai hubungan dua hala, kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Datuk Seri Anwar, yang juga Menteri Kewangan berharap hubungan Malaysia dan Brunei Darussalam terus diperkukuh demi manfaat bersama.

APEC merupakan forum antara Kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik.

Ia mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

Malaysia dan Brunei merupakan antara 12 anggota pengasas APEC.

Trainee