JOHOR BAHRU, 16 November- Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang, selepas terjatuh ketika bermain di tepi longkang besar di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor, kira-kira pukul 3.50 petang, semalam.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata, mangsa berusia lapan tahun dipercayai sedang bermain bersama dua rakan berumur tujuh dan lapan tahun di tepi longkang berkenaan.
Mangsa kemudian tergelincir ke dalam longkang, sebelum dihanyutkan arus deras.
Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah dibuka di lokasi kejadian dan operasi pencarian bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), giat dijalankan sehingga ke kawasan sungai berdekatan.
Kes disiasat mengikut Kertas Enkuiri Polis - Orang Hilang.
Seramai enam anggota bomba dan sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian, sejurus menerima panggilan kecemasan bagi memulakan operasi menyelamat mangsa, semalam.