(Anwar Ibrahim)
PUTRAJAYA, 9 Jun- Pemberian subsidi serta kawalan harga ayam dan telur ayam yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan, perkara itu telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur (ayam) kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela, perdana menteri bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN supaya pemberian subsidi dan kawalan harga ayam dan telur diteruskan mulai 1 Julai ini," menurut satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu menetapkan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun.
Keputusan dibuat bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras aspirasi Kerajaan Malaysia Madani.
(Foto hiasan)