fb fb fb fb fb

PAU 2023: UMNO sentiasa fikirkan agenda hebat buat negara - Ahmad Zahid

(Ahmad Zahid Hamidi)

KUALA LUMPUR, 9 Jun- Kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak merubah prinsip perlembagaan parti itu yang tetap mempertahankan Islam, Melayu, Perlembagaan Persekutuan serta perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum. 

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO juga kekal menjadi rakan strategik politik Kerajaan Perpaduan dengan mencerminkan representasi sebenar UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut menggesa ahli parti supaya berani untuk berhadapan dengan kelompok 'jiwa sempit' yang memperalatkan kaum dan agama untuk kelangsungan politik.

"Kerajaan Perpaduan adalah gagasan besar, masyarakat Madani adalah falsafah besar dan mendepani landskap politik baharu adalah anjakan besar. Semuanya ini membuktikan kita (UMNO) sentiasa memikirkan agenda dan idea hebat buat negara," katanya dalam  Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Tambah beliau, naratif kononnya Islam terancam ketika pentadbiran Kerajaan Perpaduan tidak berasas.

Buktinya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini memperuntukan RM1.5 bilion kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan institusi Islam negara ini. 
 
Sementara itu, Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) antara usul yang diutarakan dalam ucapan tersebut.

Ahmad berkata, penubuhannya adalah bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat mengawal selia ekosistem industri gig, seterusnya menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna.

Sektor berkenaan kian berkembang pesat di Malaysia dengan lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Lebih 80% daripada pengguna ekonomi gig ini adalah terdiri daripada anak muda. Justeru, jangan kita kesampingkan (ketepikan) arus evolusi digital yang menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi multi-billion sehingga mencecah RM52.4 billion pada tahun 2020 sahaja. Ia juga dijangka berkembang pada kadar 23% setiap tahun," katanya.

Ujar beliau lagi, penubuhan SEGiM akan memberi sinar baharu buat pemain ekonomi gig terutama terhadap komuniti penghantar makanan e-hailing serta membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan itu ke luar negara.

Kerajaan juga digesa agar dapat menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan High Speed Rail (HSR) yang dimulakan Perdana Menteri keenam (Tan Sri Muhyiddin Yassin), tetapi dikaji semula oleh Perdana Menteri Ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan dibatalkan Perdana Menteri kelapan (Muhyiddin).

(Barisan kepimpinan UMNO pada PAU 2023 di WTC, hari ini)

Media Baharu