PUTRAJAYA, 9 Jun - Laporan akhir berhubung insiden gangguan bekalan air di sebahagian kawasan Kedah dan Pulau Pinang akan dimuktamadkan pertengahan bulan ini.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan telah mengadakan sesi dialog dengan pihak berkepentingan berhubung insiden berkenaan.
Lawatan ke lokasi insiden turut dilakukan bagi mendengar taklimat pengoperasian daripada wakil operator bekalan air dan badan pengurusan sumber air negeri.

"Setiap maklum balas akan diteliti sebelum mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan yang wajar dipertimbang dan dilaksana," kata SPAN menerusi kenyataan.
SPAN turut memaklumkan, Jawatankuasa Teknikal Khas yang ditubuh bagi meneliti dan mengemuka penyelesaian berhubung bekalan air mentah di kedua-dua negeri itu juga telah diberi taklimat mengenai senario, impak dan langkah pencegahan.
Pada 14 Mei lepas, media melaporkan paras air di Sungai Muda, Kedah menunjukkan penurunan secara mendadak di bawah paras satu meter yang berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air Sungai Muda, sekali gus menjejaskan pengeluaran di loji rawatan air (LRA) Sungai Dua.