fb fb fb fb fb

PAU 2023: Kehadiran sempurnakan tugas negara - PM

(Anwar Ibrahim (tengah) bersama Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Wan Rosdy Wan Ismail (kiri)
pada PAU 2023 di WTC, hari ini)

KUALA LUMPUR, 9 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kehadirannya ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 selepas lebih dua dekad adalah bagi menyempurnakan tugas negara.

Beliau menegaskan kepentingan negara dan rakyat lebih penting daripada pengalaman peribadi bersama UMNO.

"Yang penting menyempurnakan tugas negara. Pengalaman peribadi itu penting tetapi tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan kepentingan negara.

"Saya ada di sini, saya gunakan platform perpaduan ini untuk memperkukuh kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Beliau juga mengakui bahawa masih menghafal lagu UMNO ‘Bersatu, Bersedia, Berkhidmat’.

“Jadi saya tentunya merasa selesa, senang kerana dah biasa suasana itu (perhimpunan agung UMNO) termasuk menghafal lagu (parti itu),” kata beliau.

Anwar hadir ke PAU 2023 di WTC pagi tadi.

Kehadirannya melakar sejarah bagi dirinya yang pertama kali menjejakkan kaki ke PAU selepas 25 tahun lalu.

PAU turut dihadiri 19 presiden parti yang bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Premier Sarawak, Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke.

(Anwar Ibrahim (tengah) menyanyikan lagu UMNO ‘Bersatu, Bersedia, Berkhidmat’
pada PAU 2023 di WTC, hari ini)

Media Baharu