(Sebahagian aktiviti sempena pelancaran Minggu Malaysia Madani
di Ho Chi Minh City/Foto FB Konsulat Jeneral Malaysia)
KUALA LUMPUR, 9 Jun- Bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-Vietnam, Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City melancarkan Minggu Malaysia Madani bermula hari ini sehingga 18 Jun depan.
Penganjurannya selaras dengan aspirasi kerajaan mengetengahkan Malaysia Madani di peringkat global.
“Program Minggu Malaysia Madani merupakan inisiatif Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City dengan kerjasama Malaysia Business Chamber (MBC) dengan sokongan semua agensi kerajaan di sini iaitu MATRADE, Tourism Malaysia Viernam dan Education Malaysia, menurut kenyataan yang dikongsi kepada RTM.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dari negeri Perak dan Melaka Bandaraya Bersejarah.
Minggu Malaysia Madani menonjolkan tiga segmen utama iaitu Malaysia Madani Pavilion (9-11 Jun 2023); Malaysia Education Fair (9-11 Jun 2023); dan Malaysia Food and Cultural (9-18 Jun 2023) di empat hotel terkemuka di Ho Chi Minh City.
Sebanyak 19 jenama Malaysia dan 11 universiti awam dan swasta dari Malaysia terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Tahun lalu, hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Vietnam merekodkan jumlah dagangan memberangsangkan iaitu sebanyak AS$19.4 bilion, dengan jumlah eksport sebanyak AS$12.2 bilion dan import sebanyak AS$7.2 bilion. Malaysia merekodkan lebihan dagangan sebanyak AS$4.9 bilion.
Dalam industri pelancongan pula, meskipun dalam situasi pandemik COVID-19, Malaysia masih mampu menarik kehadiran pelancong yang merekodkan kehadiran pelancong Vietnam ke Malaysia sebanyak 173,763 orang pada 2022.
Tahun ini, Tourism Malaysia menyasarkan lebih tiga kali ganda hasil daripada promosi bersasar yang dijalankan secara berterusan.
Education Malaysia juga menyasarkan peningkatan mendadak kehadiran pelajar Vietnam ke Malaysia menerusi promosi berterusan serta potensi pasaran yang kuat bagi penduduk Vietnam.
Malaysia sememangnya menjadi destinasi pilihan kerana kestabilan, infrastruktur yang sangat baik serta kos sara hidup berpatutan.
(Foto: FB Konsulat Jeneral Malaysia)