(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun
Openg pada Majlis Perasmian Rais Hotel dan Convention Centre Kuching dan Majlis Berbuka
Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim hari ini/ Foto BERNAMA)
KUCHING, 17 April - Prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak yang cemerlang telah memberi keyakinan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersetuju dengan hasrat Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan butik milik sendiri.
Beliau bukan sahaja meneliti prestasi perjalanan semua negeri-negeri khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur, permasalahan yang dihadapi, hasil serta keupayaan sesebuah negeri itu, malah percaya pengurusan yang lemah sesebuah kerajaan negeri boleh menjadi beban bukan sahaja kepada rakyat malah juga kerajaan persekutuan.
Anwar memuji pengurusan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya meletakkan Sarawak ke hadapan dalam pelbagai inisiatif seperti industri gas hidrogen dan penggunaan kereta elektrik.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun
Openg meletakkan tangan sebagai gimik Majlis Perasmian Rais Hotel dan Convention Centre
Kuching dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim hari ini/ Foto BERNAMA)
"Tetapi saya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan meneliti perjalananan negeri-negeri, prasarananya, infrastrukturnya dan permasalahan yang dihadapi, soal hasil negeri, keupayaan negeri, projek-projek besar yang dijalankan oleh negeri, itu kita teliti dan saya tegaskan di sini dari rekod Kementerian Kewangan, memang di antara, bukan di antara mungkin negeri yang paling ke depan dalam banyak perkara termasuk soal pengurusan dan tataurus kerajaan sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada Abang Jo (Abang Johari) dan rakan-rakan," kata beliau semasa berucap pada Majlis Perasmian Hotel dan Pusat Konvensyen Raia, di sini hari ini.
Justeru, Anwar yakin cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik akan dapat meyediakan kos perkhidmatan yang lebih berpatutan kepada rakyat terutamanya melibatkan penerbangan di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
Beliau memberitahu bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet kerajaan persekutuan pada Rabu ini.