PM seru media kuasai AI tanpa abaikan nilai dan etika

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengamal media meningkatkan keupayaan menguasai teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), namun pada masa sama terus mempertahankan nilai, etika dan jati diri kewartawanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI membuka ruang baharu tetapi berisiko jika dimanipulasi untuk kepentingan ideologi, budaya atau kuasa ekonomi; kehati-hatian diperlukan.
  • Menguasai teknologi tanpa mengabaikan nilai, etika dan jati diri kewartawanan.
  • Bina kekuatan domestik dan serantau untuk pertahankan kebebasan media, kedaulatan dan nilai masyarakat; kerajaan serta MCMC akan bekerjasama.

Beliau berkata, perkembangan AI membuka ruang baharu kepada industri media, namun turut membawa cabaran besar sekiranya teknologi tersebut digunakan untuk memenuhi kepentingan ideologi, budaya dan kuasa ekonomi tertentu.

“Kita harus menghambat dan memenuhi keperluan teknologi baharu, sementara mempertahankan nilai dan akhlak. Persaingan ini, kalau kita tidak waspada dari awal, kita akan tergelincir.”

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2026 dan majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI- PETRONAS 2025 di ibu negara.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut mengingatkan bahawa konsep captive mind yang pernah diketengahkan Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas kini muncul dalam bentuk baharu menerusi penguasaan teknologi digital dan AI.

Menurut beliau, negara perlu membangunkan kekuatan domestik dan serantau bagi memastikan kebebasan media, kedaulatan negara serta nilai murni masyarakat terus dipertahankan.

“Sekarang kita berdepan dengan kuasa baharu yang memilih untuk mencabar kebebasan dengan menguasai teknologi dan menggunakannya untuk memenuhi hasrat ideologi atau kefahaman serta budaya yang kadang-kadang tentunya asing daripada kita,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus bekerjasama dengan pengamal media serta menerima pandangan dan teguran bagi memperkukuh ekosistem media negara.

Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan PETRONAS atas komitmen mereka dalam memperkasa profesion kewartawanan serta menggalakkan inovasi dalam industri media negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.