PUTRAJAYA, 6 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tugas besar dalam penilaian dikembalikan kepada penjawat awam dan mengurangkan kebergantungan kepada konsultan pada pentadbiran kerajaan kini.
Jelasnya berdasarkan pengalaman berkhidmat selama lapan tahun di Kementerian Kewangan sebelum ini,beliau dapat menyaksikan kompetensi pegawai-pegawai yang ada memimpin dan mengemudi sesuatu projek, dan jika perlu hanya dibantu satu atau dua konsultan.
"Bukan saya anggap pengambilan konsultan tidak penting tetapi saya mahu tunjukkan bahawa tingkat kepakaran dan keterampilan kita kalau garap, latih ia akan beri ruang kepada yang muda.
"Sebab itu saya beritahu Ketua Setiausaha Negara (KSN) bukan tentang pengambilan konsultan, khidmat kerajaan dahulu saya saksikan kompetensi pegawai ada, bermakna kalau perlu seorang atau dua orang konsultan bantu itu munasabah tetapi seeloknya memandu dan mengemudi projek itu supaya barisan yang penjawat awam muda dapat pendedahan yang sangat baik," katanya.
(Anwar bertemu penjawat Awam pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan
Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac 2023 di Putrajaya)
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mac 2023 di Putrajaya.
Jelasnya lagi kelebihan dan keupayaan serta kepakaran dalam kalangan penjawat awam perlu dimanfaatkan untuk memulihkan imej penjawat awam, sebagai yang terbaik dalam negara dan rantau ini.