ADDIS ABABA, 20 November – Belia di Malaysia dan Afrika diseru membebaskan diri daripada “mentaliti kolonial” serta budaya imperialisme bagi memastikan masa depan yang lebih adil, progresif dan berasaskan kekuatan sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara yang merdeka mesti berani menentukan hala tuju masing-masing tanpa bergantung kepada naratif luar.
Menurutnya, golongan muda memainkan peranan besar dalam usaha membina semula negara dan memajukan ekonomi.
“Belia mesti menimbang dan membuat keputusan sendiri dalam membentuk masa depan Afrika dan Asia,” katanya ketika menyampaikan kuliah bertajuk Bridging Civilisations, Building Futures: Strengthening Afro-Malaysia Partnership for Shared Prosperity, di sini.
Turut hadir Menteri Wanita dan Hal Ehwal Sosial Ethiopia, Ergoge Tesfaye; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; serta Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia, Mohd Afandi Abu Bakar.
Datuk Seri Anwar turut menekankan pentingnya penglibatan aktif generasi muda dalam membentuk dasar dan arah pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, meskipun era kolonial telah lama berakhir, kesan psikologi dan budaya penjajahan masih mempengaruhi sebahagian masyarakat.
“Mentaliti kolonial masih wujud, dengan ada negara merdeka bertindak seolah-olah mereka masih berada di bawah pemerintahan kolonial. Sebab itu kita lihat banyak negara merdeka di Asia, Afrika dan Amerika Latin bertindak lebih seperti pemerintah biasa berbanding peneraju kebebasan, keadilan dan kemerdekaan,” katanya.
Berucap di hadapan belia Ethiopia, Datuk Seri Anwar menegaskan: “Kita telah menentang perhambaan dan kolonialisme, jadi kita tidak seharusnya menjadi hamba dalam pemikiran dan sikap kita.”
Beliau mengingatkan selagi mentaliti tersebut tidak dihentikan, sesebuah negara boleh menyimpang daripada nilai keadilan dan kebebasan yang pernah diperjuangkan.
Justeru, katanya, sekiranya Afrika dan Asia benar-benar ingin membina masa depan lebih baik, rakyat, khususnya golongan muda mesti berani melepaskan mentaliti yang mengekang mereka selama ini.
Forum Belia Afro-Malaysia bertajuk Youth Partnership for Shared Prosperity, anjuran bersama Majlis Belia Ethiopia, Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Malaysia, berjaya menarik penyertaan 250 peserta.