
KUALA LUMPUR, 22 Februari – Anak muda diseru agar memanfaatkan Ramadan sebagai madrasah terbaik untuk membina jati diri, memperkukuh keimanan dan mengangkat martabat umat melalui pengimarahan masjid.
- Ramadan dijadikan madrasah untuk membina jati diri, memperkukuh keimanan dan mengimarahkan masjid.
- Kerajaan mendekatkan generasi muda dengan masjid supaya mendalami ilmu, amal dan tanggungjawab sosial.
- Impak teknologi mesti diseimbangkan dengan adab; generasi muda beriman diperlukan untuk memimpin negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara pendekatan yang digerakkan kerajaan ialah mendekatkan generasi muda dengan institusi masjid supaya mereka bukan sahaja hadir beribadah, malah mendalami ilmu serta memperkukuh amalan.
Tambahnya, memakmurkan masjid bukan sekadar memenuhi ruang solat, tetapi memahami peranan besar yang digariskan dalam al-Quran, mendirikan solat dan menyempurnakan tanggungjawab sosial termasuk zakat serta kebajikan masyarakat.
“Menyerah pada Allah dan ada tugas pada masyarakat. Sebab itu dikaitkan solat dengan zakat. Dan kalau benar anak muda punyai kekuatan itu, semangat itu, dedikasi dan minat yang sedemikian, dia tidak akan gentar pada segala bentuk masalah dan ujian melainkan hanya takut pada Allah Taala, jadi rumusan itu sangat menarik,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan serta Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Tegas Perdana Menteri, generasi muda yang memiliki kekuatan semangat, dedikasi dan minat terhadap ilmu tidak akan gentar dengan cabaran atau pujian, sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip dan nilai tauhid.
Oleh itu, bulan Ramadan harus dijadikan medan membentuk generasi berakhlak tinggi, berilmu dan mampu menjadi pemimpin masa depan negara.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar mengingatkan bahawa kemajuan teknologi dan pembangunan negara perlu diseimbangkan dengan pembinaan adab serta nilai kemanusiaan.
Dengan penglibatan aktif anak muda di masjid sepanjang Ramadan, Malaysia mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan profesionalisme, malah kukuh iman serta bijaksana dalam memimpin masyarakat.