fb fb fb fb fb

PM santuni penduduk Port Dickson

PORT DICKSON, 3 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tengahari tadi meluangkan masa kira-kira 40 minit menjamu selera di Warung Pak Salleh, di sini.

Beliau yang tiba pukul 12.48 tengahari diiringi Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hassan serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mereka dihidangkan juadah nasi goreng cina dan rojak kuih yang menjadi pilihan utama pengunjung setiap kali ke kedai yang berusia lebih 50 tahun itu.

Pemilik kedai makan, Azwan Azmi Ng mengakui terkejut dengan kunjungan Perdana Menteri, dan menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang mesra rakyat.

Perdana Menteri dikatakan pernah berkunjung ke kedai tersebut sewaktu beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Port Dickson sebelum ini.

"Dia (Perdana Menteri) datang pun tidak formal. Ini pertama kali orang besar ternama datang ke kedai ini, memang teruja," kata Azwan di sini.

(Anwar beramah mesra dengan peniaga dan pelanggan di Warung Pak Salleh)

Sementara itu, Anwar turut berkesempatan menunaikan solat jumaat di Masjid Qariah Bagan Pinang, Port Dickson.

Beliau bersama-sama 1,500 jemaah lain mendengar khutbah Jumaat bertajuk 'Santuni Generasi Cilik' yang dibacakan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Port Dickson, Shafie Muhammad dan seterusnya menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Mejar General (B) Datuk Nawawi Daud.

Beliau kemudian mengambil peluang beramah mesra serta bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat pulang kira kira pukul 2.20 petang.

Media Baharu