fb fb fb fb fb

Mahkamah benar pelepasan sementara pasport Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pelepasan sementara pasport Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk memohon pasport diplomatik bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi.

Bagaimanapun, rayuan permohonan beliau supaya pasportnya dikembalikan secara kekal ditolak.

Pada 26 Januari lalu, Datuk Seri Dr. Zahid memohon untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata mahkamah menyedari hakikat bahawa sebagai timbalan perdana menteri, beliau mempunyai tugas rasmi untuk dilaksanakan, tetapi tugas itu tidak boleh bertentangan dengan tugas untuk pergi ke mahkamah kerana mahkamah juga mempunyai fungsi untuk melaksanakannya.

Prosiding pembelaan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid telah ditetapkan bersambung semula pada 10 April depan.

(Mahkamah Kuala Lumpur)

Media Baharu