KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada seorang warga emas, Chellamah Kathirveloo di kediamannya di Semambu, Pahang sempena sambutan Deepavali esok.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi sewaktu melakukan Ziarah MADANI terhadap Chellamah.
"Dalam suasana menjelang Deepavali, saya menziarahi Puan Chellamah yang kini tinggal bersama keluarga tersayang. Meski usianya lanjut, senyumnya tetap manis dan penuh ketenangan.
"Kehidupan seharian beliau mengingatkan kita bahawa kasih sayang, perhatian dan nilai kemanusiaan tidak mengenal batas bangsa atau agama," kata Ahmad Farhan menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri hari ini.
Beliau menambah sumbangan itu adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan warga emas di negara ini.
"Semoga cahaya Deepavali membawa sinar kebahagiaan dan kesejahteraan ke dalam kehidupan Puan Chellamah serta seluruh masyarakat India yang meraikannya.
"Iniya Deepavali Nal Vazhthukkal," tambah Ahmad Farhan.