fb fb fb fb fb

PM rasmi pembukaan segmen maritim LIMA ’25

Persembahan dan demonstrasi aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi penguatkuasaan lain sempena Segmen Maritim LIMA '25 pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’25) / Foto Bernama

LANGKAWI, 20 Mei – Segmen maritim Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA ’25) dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis penuh aksi di Resort World Langkawi (RWL), hari ini.

Majlis perasmian itu dimulakan dengan gimik dramatik apabila anggota penyelam taktikal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan penyusupan masuk.

Mereka terjun dari pesawat dan mendarat tepat di hadapan pentas utama sambil membawa sebuah kotak hitam yang mengandungi kad slot, kemudian diserahkan kepada Perdana Menteri untuk diaktifkan sebagai simbolik perasmian.

Demonstrasi diteruskan dengan aksi taktikal daripada pelbagai aset laut dan udara, termasuk bot laju dan jet ski yang dikendalikan oleh agensi maritim negara.

Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), serta Jabatan Perikanan Malaysia.

Kemuncak demonstrasi memperlihatkan kecekapan operasi menyelamatkan tebusan yang dilaksanakan secara gabungan oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM, Unit Gempur Marin PDRM, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR) APMM, dan Jabatan Laut Malaysia.

Operasi turut melibatkan penggunaan aset permukaan serta udara.

Sesi demonstrasi diakhiri dengan lintas hormat udara (Fly-Past) dan laut (Sail-Past) oleh semua aset yang mengambil bahagian sebagai penghormatan kepada para tetamu kenamaan yang hadir.

Turut hadir menyaksikan majlis pelancaran ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebagai agensi utama bagi segmen maritim LIMA’25, TLDM mengetengahkan kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara maritim dengan tumpuan terhadap peranan strategik sektor maritim dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN