fb fb fb fb fb

PM puji resolusi UNHRC bendung kebencian agama

(FOTO BERNAMA)

PUTRAJAYA, 21 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji tindakan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan resolusi menangani kebencian agama susulan insiden membakar Al-Quran yang berlaku di Sweden, bulan lalu.

Anwar menegaskan, amat malang apabila ada antara negara anggota yang tidak bersetuju dengan resolusi tersebut dengan alasan kononnya atas dasar kebebasan bersuara walaupun langkah progresif ini diambil bagi menentang Islamofobia.

Beliau berkata, penggunaan kebebasan bersuara yang memalukan sebagai perisai, menyebabkan ia terdedah kepada penyalahgunaan dalam membenarkan kebencian dan kekejaman daripada menentang kezaliman.

(Pelajar dari Pakistan turut mengadakan demonstarsi membantah pembakaran
Al-Quran di luar masjid Stockholm / FOTO FAIL AFP)

“Sama seperti kita menolak keterlaluan totalitarianisme, tanggapan ekstremis tentang kebebasan adalah sama-sama merugikan masyarakat, yang boleh membawa kepada pelanggaran terhadap keselamatan dan hak orang lain untuk hidup,” kata Anwar menerusi kenyataan, hari ini.

Resolusi berkenaan diusulkan oleh Pakistan yang mewakili Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan 28 daripada 47 negara anggota UNHRC menyokong draf resolusi itu, termasuk Malaysia, China, Ukraine dan sebahagian besar negara Afrika.

Antara negara barat yang menentang resolusi berkenaan terdiri dariapada Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Perancis.

Anwar berkata, Islamofobia merupakan racun yang boleh mengancam negara-negara barat sama seperti ia mengancam umat Islam di mana-mana negara yang mereka tinggal.

“Semua masyarakat tidak boleh menyelesaikan isu ini dengan membakar dan mencemarkan kitab masing-masing, tetapi perlu dibaca dan terlibat menerusi dialog,” katanya.

Biarpun UNHRC berani menentang kebencian ini, Perdana Menteri berharap golongan penentang itu dapat menggunakan kuasa mereka dengan memastikan segala tindakan dan kata-kata tidak menjerumuskan kepada keburukan dan ketidakadilan terhadap rakyat serta hak mereka yang dipertahankan.

Media Baharu