KUALA LUMPUR, 6 November - Beberapa laluan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan ditutup dan dilencongkan sementara bersempena penganjuran Klang Royal City Marathon 2025 pada Ahad, 9 November.
West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan akan berkuat kuasa mulai pukul 10 malam, 8 November hingga 8 pagi, 9 November.
Ia melibatkan laluan antara Persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan hingga Persimpangan Assam Jawa, antaranya susur masuk ke WCE dari Lebuhraya Grand Sepadu, Jalan Meru, Persiaran Hamzah Alang, Lebuhraya LATAR, serta Jalan Kuala Selangor.
Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi papan tanda serta arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pihak.
WCE turut menyediakan panduan laluan alternatif melalui visual yang dikeluarkan untuk rujukan pengguna.
Sebarang pertanyaan berkaitan WCE boleh dibuat melalui talian maklumat 1700-81-6600.