fb fb fb fb fb

Taufan Kalmaegi : Malaysia ucap takziah kepada Filipina

Kawasan perumahan di Talisay, Cebu di Filipina musnah akibat Taufan Kalmaegi/AFP

KUALA LUMPUR, 6 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita mendalam terhadap kehilangan nyawa dan kemusnahan besar yang berpunca daripada Taufan Kalmaegi yang melanda Filipina baru-baru ini.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Datuk Seri Anwar berkata laporan mengenai banjir besar, tanah runtuh serta kemusnahan kediaman dan infrastruktur akibat taufan berkenaan amat menyayat hati.

Beliau berkata bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, beliau menyampaikan ucapan takziah serta simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa dan semua yang terjejas akibat tragedi itu.

“Doa dan ingatan kami bersama rakyat Filipina ketika mereka memulakan usaha membina semula komuniti masing-masing,” kata beliau.

Menurut agensi pengurusan bencana negara, seramai 706,549 orang di 24 wilayah terjejas akibat Taufan Kalmaegi, termasuk 436,911 penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing setakat Rabu lalu.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ