fb fb fb fb fb

MIHAS@Shanghai 2025 sasar jualan RM3 bilion

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SHANGHAI, 6 November - Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@Shanghai 2025 menyasarkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM3 bilion berbanding RM2.2 billion pencapaian direkodkan di Dubai, tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran itu mampu dicapai dengan disokong usaha Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan pembeli yang hadir pada pameran itu.

"Melalui 20 premium buyer (pembeli premium), mereka bukan saja memegang pembeli, tetapi premium buyer yang memasarkan produk-produk daripada Malaysia melalui ekspo ada pada hari ini untuk mereka beli.

"Pada hemat saya sasaran oleh Pengerusi MATRADE iaitu RM2.5 bilion itu terlalu kecil, itu sebab saya meletakkan sasaran lebih daripada itu (RM3 bilion), dengan usaha yang dilakukan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersungguh-sungguh," katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merasmikan MIHAS@Shanghai 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Kebangsaan (NECC).

Ia bersempena penyertaan Malaysia dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-8 yang bertujuan mempromosi industri halal negara di pasaran global.

Turut hadir, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Hadir sama, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Untuk rekod, MIHAS@Shanghai 2025 yang berlangsung sehingga 10 November menampilkan 250 syarikat tempatan merangkumi sektor utama seperti makanan dan minuman, produk pertanian, barangan pengguna pantas (FMCG), peralatan perubatan dan penjagaan kesihatan, serta perkhidmatan kewangan dan perniagaan.

Dalam perkembangan lain, pagi tadi delegasi Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia di China (MayCham) mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Dalam kunjungan itu, pihak MayCham menyatakan kesediaan untuk bekerjasama mempromosikan pelbagai industri antara Malaysia-China, terutamanya industri halal serta Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI