fb fb fb fb fb

Ketua jabatan diminta pantau hutang penjawat awam

Tan Sri Wan Ahmad Dahlan menyampaikan sijil H.E.M.A.T dalam Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pegawai Awam Melaka

AYER KEROH, 6 November - Ketua-ketua jabatan kerajaan diingatkan supaya memberi perhatian serius terhadap tahap hutang pegawai bawah seliaan masing-masing.

Ia bagi mengelakkan penjawat awam terjerumus dalam masalah hutang yang boleh menjejaskan prestasi kerja.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, peraturan berkaitan pengurusan hutang penjawat awam sudah pun digariskan kerajaan dan perlu dipatuhi sepenuhnya.

"Memang semua ketua jabatan diingatkan supaya memberi perhatian yang serius mengenai perkara itu kerana kita tidak mahu penjawat awam menanggung hutang yang besar sehingga menyebabkan tumpuan pada kerja terjejas dan akhirnya akan menyebabkan mereka berdepan keterhutangan yang serius," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pegawai Awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.

Terdahulu, media melaporkan beberapa individu termasuk pegawai bank ditahan menerusi Op Sky berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan.

Sindiket berkenaan dikatakan menawarkan khidmat perunding kewangan kepada penjawat awam melalui media sosial, selain menganjurkan jelajah ke beberapa jabatan dan kementerian.

MASNIZA AWANG KECHIK