fb fb fb fb fb

PM penuhi janji bentang RUU berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, Anwar ucap tahniah

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memenuhi janji untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Pindaan Nombor 3, 2022 berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti di Parlimen.

Katanya, ia selari kesepakatan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Kerajaan dengan Pakatan Harapan.

"Kita anggap ini satu permulaan sangat bermakna dan bersejarah, yang memberi kesan kepada udanng-undang dan perlembagaan. Tetapi pengertian moral, integriti majlis tertinggi yang tidak dianggap sebagai penjual maruah, dan khianat kepada amanah yang diberikan," kata Anwar Anwar ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat.

Beliau berkata institusi Parlimen tidak seharusnya dijadikan tempat untuk Ahli Parlimen untuk menggondol kekayaan, menjual maruah semata-mata untuk mempertahankan kedudukan mereka termasuk dengan mengubah (lompat) parti.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim/FOTO BERNAMA)

"Perkara ini menyebabkan terhakisnya kepercayaan dan keyakinan rakyat terutama golongan anak muda terhadap ahli dan sistem politik.

"Pindaan ini untuk memastikan kita memulihkan keyakinan ini dengan menekankan bahawa segala pengkhianatan dan rasuah dengan dikenakan tindakan dengan serius. Saya menyokong (rang undang-undang)," katanya lagi.

Anwar berkata walaupun rang undang-undang yang dibentang itu tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan Ahli Parlimen pembangkang namun beliau tetap menyokong rang undang-undang itu dibentangkan, selain mahu beberapa prinsip penting yang disentuh pembangkang berkaitan isu itu dipertimbangkan dalam pindaan akan datang.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri membentangkan rang undang-undang itu yang antara lain memperuntukan seseorang Ahli Parlimen yang dipilih rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu melompat parti.

Media Baharu