fb fb fb fb fb

Gangguan bekalan elektrik pulih sepenuhnya, perkhidmatan LRT kembali normal

(Tangkap layar mendakwa stesen TNB Yong Peng, Johor terbakar yang tular
di media sosial hari ini/FB)

KUALA LUMPUR, 27 Julai- Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di semua kawasan yang mengalami gangguan bekalan elektrik pada pukul 3:02 petang tadi.

Menerusi status terkini TNB Careline di Facebook, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

Berdasarkan siasatan TNB mendapati gangguan bekalan yang bermula pada pukul 12:39 tengah hari tadi berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Kerosakan itu telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” tulis status tersebut.

Terdahulu menerusi satu kenyataan TNB memaklumkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia yang berlaku sejak 12.39 tengah hari tadi, berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit, kecuali di beberapa kawasan di Lembah Klang.


(Foto hiasan)

Kenyataan itu mengesahkan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak pukul 12:39 tengah hari ini melibatkan 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan.

“Antara kawasan-kawasan terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota. Bagaimanapun, bekalan telah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terlibat kecuali di kawasan-kawasan terbabit di Lembah Klang, tulis kenyataan itu.

Sementara itu Rapid Rail Sdn Bhd mengesahkan bahawa perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling turut terkesan akibat masalah bekalan elektrik itu.

Perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dilaporkan mengalami gangguan kira-kira pada jam 12.48 tengah hari melibatkan 11 stesen dari Stesen LRT Bandar Tun Razak sehingga Stesen LRT Pusat Bandar Puchong.

Namun, perkhidmatan pulih sepenuhnya pada pukul 1.35 petang.

“Akibat masalah ini, tren bergerak dengan lebih perlahan dan berhenti lama di platform. Penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon perjalanan sehala secara percuma yang perlu tebus di kaunter khidmat pelanggan”, kata kenyataan yang dikeluarkan bahagian komunikasi Rapid Rail Sdn Bhd.


(Status Twitter Rapid KL)

Media Baharu