fb fb fb fb fb

Isu kereta pengiring yang tular semalam, patuhi peraturan

KOTA BHARU, 27 Julai - Kenderaan pengiring polis yang mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap memotong di garisan berkembar yang tular di media sosial sejak semalam, mematuhi semua prosedur yang telah ditetapkan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kereta pengiring berkenaan menjalankan tugas mengatur dan mengawal mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 iaitu tugas di jalan awam.

Di bawah peraturan itu terdapat peraturan yang perlu dipatuhi dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

(Muhamad Zaki bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan)

"Pihak polis apabila mengiring ini, akan menentukan amaran, peringatan secukupnya dengan bunyi siren dengan lampu kecemasan. Ini bermakna pengguna jalan raya yang lain perlu memberi kerjasama samada memperlahankan kenderaan, memberi laluan atau terpaksa memberhentikan kenderaan bagi mengelakkan sesuatu yang berlaku, kerana dalam mengiring ini, ada peraturan, tidak boleh berhenti sewenang-wenangnya," kata Muhamad Zaki di sini.

Terdahulu, tular rakaman video dashcam berdurasi 11 saat di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan polis pengiring memotong di garisan berkembar di percayai di laluan Gua Musang–Kota Bharu sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Menerusi video berkenaan, kenderaan itu sedang mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap memasuki lorong bertentangan dalam keadaan laju sehingga menyebabkan kenderaan lain terpaksa mengelak ke tepi jalan.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata dalam hal ini mungkin berlaku kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai perkara tersebut disebabkan kenderaan pengiring polis mempunyai pergerakan dan arahan yang sah untuk mengiringi ketiga-tiga kenderaan berkenaan.

Media Baharu