fb fb fb fb fb

Larang ahli parlimen tukar parti, elak krisis politik berpanjangan - PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Penggubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelak negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan.

Jelas Perdana Menteri, pindaannya juga untuk memberi mesej jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili.

Ia bagi melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan terhadap mereka ketika proses pilihan raya berlangsung.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

"Selain itu, saya yakin rang undang-undang ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang.

"Penggubalan rang undang-undang ini telah mengambil masa hampir setahun. Sesungguhnya, proses penggubalannya bukanlah suatu proses yang mudah kerana ia melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu jawatankuasa pilihan khas, bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia," katanya.

Pada masa yang sama penggubalannya juga merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan dan Pembangkang.

Justeru Perdana Menteri berharap RUU itu berupaya melakar sejarah seperti Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua ahli parlimen.

Pindaan itu hanya dapat diluluskan jika mendapat sokongan pada bacaan kali kedua dan bacaan kali ketiga tidak kurang dari dua pertiga atau minimum 148 Ahli Majlis Parlimen.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, terdapat beberapa parameter dalam penggubalan RUU berkenaan.

Antaranya perundangan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan Akta mulai tarikh kuat kuasa Akta.

Begitu juga Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

"Penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,

"Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana ahli dewan rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi ahli dewan rakyat bebas, akan terhenti menjadi ahli dewan rakyat dan perlu mengosongkan kerusi," katanya.

Media Baharu