fb fb fb fb fb

Inisiatif Smart Sawah LZNK bantu jamin bekalan makanan asas kepada asnaf

ALOR SETAR, 27 Julai- Usaha Lembaga Zakat Negeri Kedah LZNK membangunkan inisiatif Smart Sawah Berskala Besar Asnaf, di lebih 200 hektar tanah sawah di Kedah, membantu menjamin bekalan makanan asas kepada golongan asnaf.

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memuji usaha tersebut dan berharap dapat diikuti oleh institusi lain bagi memperkasakan ekonomi umat Islam.

Titah baginda inisiatif tersebut telah memperkasa ekonomi petani setempat dengan memberi peluang pekerjaan disamping meningkatkan hasil dan menjimatkan kos petani.

"Beta amat yakin,sekiranya usaha-usaha yang dilakukan ini dapat diikuti oleh institusi-institusi yang lain dan dibantu sepenuhnya oleh semua pihak, terutamanya organisasi-organisasi korporat dan insitusi kewangan islam yang lain, pasti usaha pembangunan ummah sebegini akan terus berkembang, demi maslahah umat keseluruhannya," titah Sultan Kedah.

Sultan Kedah bertitah demikian dalam ucapan perasmiaan secara maya pada Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-16.

Muzakarah anjuran bersama International Centre for Education in Islamic Finance University, International Shari’ah Research Academy For Islamic Finance, Research Management Centre dan LZNK di Alor Setar.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Pendidikan dan Sumber Manusia Datuk Najmi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman.

Berhubung penganjuran muzakarah tersebut , titah baginda peranan institusi-institusi zakat tidak lagi terhad kepada urusan zakat, sedekah,infaqdan wakaf sahaja,malah turut merangkumi perjuangan untuk memerangi dan memastikan bahawa setiap muamalat yang dilakukan oleh umat Islam, adalah berasaskan kepada hukum Syarak.

Baginda menyeru Majlis Agama di setiap negeri, badan dan organisasi korporat serta orang ramai berganding bahu mencari kaedah yang terbaik, bagi menyatukan usaha dan tenaga dalam memperkasa semua institusi berkaitan kewangan Islam.

Seminar selama dua hari disertai 200 peserta termasuk dari luar negara iaitu Singapura, Indonesia, Nigeria, Brunei dan Thailand.

 


(Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah)

Media Baharu