SEPANG, 16 Januari - Hasrat seorang remaja menderita kanser tulang tahap empat untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri akhirnya tercapai.
Nurshazrina Suryanto 15 tahun, terkejut dan tidak menyangka pemimpin nombor satu negara itu berkunjung ke kediamannya semalam di Pangsapuri Megah Villa di Kota Warisan, Sepang.
Pertemuan mereka diaturkan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said.
Nurshazrina tidak menyangka hasratnya untuk bertemu Perdana Menteri yang diluahkan kepada beberapa pihak sebelum ini akhirnya didengari.
Datuk Seri Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sepang itu dan keluarganya.
Nurshazrina, anak kelima daripada lima beradik disahkan menghidap kanser tulang tahap empat sejak Oktober tahun lalu.
Kos rawatannya di Hospital Kuala Lumpur ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor di samping bantuan lain yang diterima.