PM optimis rundingan AS-Iran buka semula Selat Hormuz tunjuk perkembangan positif

Foto EPA/FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima petunjuk menggalakkan daripada para pemimpin di Asia Barat berhubung rundingan ke arah perjanjian rangka kerja antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, termasuk usaha pembukaan semula Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses rundingan kini bergerak dalam trajektori progresif.
  • Perdana Menteri memandang perkembangan ini dengan penuh harapan dan optimisme.
  • Malaysia menghargai peranan konstruktif negara rantau dan mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Trump.
  • Beliau menggesa perjanjian rangka kerja inklusif untuk kukuhkan gencatan senjata, jamin laluan selamat perairan serantau dan tangani kepentingan keselamatan semua negara; Malaysia sedia menyokong.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan, proses rundingan tersebut sedang bergerak dalam trajektori progresif.

“Saya memandang perkembangan ini dengan penuh harapan dan optimisme,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia mengambil maklum peranan konstruktif yang dimainkan oleh Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudah cara proses itu.

“Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Trump dalam usaha mencapai penyelesaian melalui rundingan.

“Kami berharap semua pihak akan merebut peluang ini dan meneruskan rundingan hingga mencapai penyelesaian yang berjaya,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, mereka menggesa semua pihak mencapai satu perjanjian rangka kerja inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata semasa, memastikan laluan selamat melalui Selat Hormuz, serta menangani kepentingan keselamatan sah semua negara di rantau tersebut.

Malaysia bersedia untuk menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.