KUALA LUMPUR, 18 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan penduduk terjejas banjir supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, selain segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diarahkan demi keselamatan diri serta keluarga.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata Kerajaan MADANI melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyelaras tindakan segera bersama agensi berkaitan bagi tujuan itu.
Antara langkah diambil termasuk hebahan awal sistem pesanan ringkas (SMS) kecemasan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyaluran bantuan kebajikan serta keperluan asas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan pengoperasian pam kecemasan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengawal paras air serta mengurangkan risiko banjir.
Tambah beliau, situasi banjir itu akan terus dipantau rapi dan bantuan akan disalurkan sebaik serta secepat mungkin.
"Saya amat terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini serta nasib penduduk yang terjejas.
"Penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang sedang bertungkus-lumus di lapangan demi membantu penduduk yang terjejas.
"Mohon mendoakan agar musibah ini segera reda dan mangsa banjir dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.