fb fb fb fb fb

Kadar tol semasa dikekalkan tahun hadapan - Alexander

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Disember - Kerajaan MADANI kekal komited untuk melindungi kebajikan rakyat dengan meneruskan kadar tol seperti biasa pada tahun hadapan melibatkan 10 lebuh raya utama di seluruh negara.

Menerusi perkongsian di Facebook, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata 10 lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Jelasnya, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) turut dikekalkan kadar tol.

"Keputusan ini adalah selaras dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri pada 23 Julai 2025 dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, di mana kerajaan telah bersetuju supaya rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.

"Perkara ini kemudiannya telah dipersetujui secara retrospektif dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2025, bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan kadar tol tersebut," katanya.

Tambah beliau, ia membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pengguna lebuh raya dengan memastikan tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan sepanjang tahun hadapan.

"Walaupun kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan yang besar dengan pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi tahun 2026, kerajaan tetap memilih untuk mendahulukan kepentingan rakyat.

"Peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

"Kementerian Kerja Raya akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pengurusan lebuh raya negara kekal mampan, efisien dan selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mengutamakan rakyat," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM