KUALA LUMPUR, 18 Disember – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025 bagi memperkukuh sistem percukaian negara.
RUU tersebut merangkumi pindaan terhadap lima akta percukaian, iaitu Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.
Seramai enam senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan, mengemukakan pandangan serta cadangan berkaitan RUU berkenaan.
Antara isu yang disentuh termasuk pendigitalan pentadbiran cukai, duti setem, pengeluaran garis panduan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, bayaran balik lebihan cukai, serta usaha meningkatkan tadbir urus hasil negara.
Menyentuh isu pendigitalan pentadbiran cukai, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata pindaan akta yang mewajibkan pengemukaan maklumat percukaian atau borang nyata cukai melalui medium elektronik bertujuan mengurangkan kos pematuhan yang ditanggung pembayar cukai.
Beliau berkata langkah itu juga dapat menjimatkan masa penghantaran, memudahkan dan mempercepatkan proses penerimaan dokumen.
“Ia menyediakan medium berpusat dan selamat bagi tujuan penyampaian data. Langkah ini menyokong usaha kerajaan memodenkan perkhidmatan awam, selaras dengan aspirasi Dasar Pendigitalan Negara,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Negara, di sini hari ini.
Tambah Liew, selepas pelaksanaan Sistem Taksiran Sendiri Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), kerajaan juga akan melaksanakan Sistem Taksiran Sendiri Duti Setem mulai 1 Januari 2026, selaras dengan amalan antarabangsa yang dilaksanakan di Ireland, Singapura, United Kingdom dan Australia.
Berdasarkan pengalaman Malaysia melaksanakan sistem taksiran sendiri bagi cukai-cukai lain sejak 2001, beliau berkata sistem tersebut bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar cukai, malah dijangka dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran pungutan duti setem melalui platform digital.