(Gambar dimuat naik Ismail Sabri di Facebook)
KUALA LUMPUR, 7 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran di Facebooknya memaklumkan kementerian dan agensi telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia berhubung kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di pusat bandar.
"Elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan," katanya dalam hantaran berkenaan yang dikemaskini kira-kira 6 petang pada Isnin.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook dan Twitter, beliau berkata enam kawasan di pusat bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan dinaiki air.
Perdana Menteri turut memuat naik beberapa keping gambar kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir oleh agensi berkaitan.
Dalam pada itu, ITIS DBKL turut memaklumkan Terowong SMART ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi banjir.
(Gambar dimuat naik Ismail Sabri di Facebook)
Sementara itu, banyak jalan ditutup susulan banjir kilat yang melanda kebanyakan kawasan ibu negara mengakibatkan kesesakan terus di jalan-jalan utama.
ITIS DBKL turut memaklumkan kesesakan berlaku dari Bandar Tasik Selatan ke Desa Tun Razak; dari Ampang ke Ukay Perdana; dari Ukay Perdana ke Ampang bagi pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Aliran trafik juga perlahan dari Petronas/Shell TPM ke Tol Sungai Besi membabitkan laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban.