fb fb fb fb fb

Beberapa kawasan pusat bandar dilanda banjir kilat

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Beberapa kawasan di pusat bandar, di sini dilanda banjir kilat berikutan hujan berterusan sejak pukul 3 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan kawasan dilaporkan dinaiki air adalah di sekitar Balai Polis Dang Wangi membabitkan Jalan Sultan Ismail/Jalan Ampang, Jalan Leboh Ampang, Jalan Raja Laut dan Jalan Kia Peng/Jalan Raja Chulan.

NADMA menerusi hantaran Facebook hari ini berkata, sungai melepasi paras amaran di Sentul-Sungai Batu, Jambatan Sulaiman-Sungai Klang, Lebuh Pasar-Sungai Klang dan Jalan Parlimen-Sungai Gombak, manakala sungai melepasi aras bahaya membabitkan Jalan Tun Razak-Sungai Gombak.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir pada jam 1.35 tengah hari tadi, di mana hujan lebat dan angin kencang dijangka di Selangor membabitkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

"Turut terkesan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau) serta Melaka (Alor Gajah) sehingga jam 5 petang. Amaran dikemas kini pada jam 2.50 petang dan 4 petang," katanya.

NADMA juga mengingatkan orang awam supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan keadaan sekeliling dan mengutamakan keselamatan diri ketika banjir berlaku.

 

(Keadaan di Jalan Raja Muda Musa, Kg Bharu di ibu negara sekitar 6 petang Isnin)

Sementara itu, Info Trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran Facebook dalam kemaskini pukul 6.38 petang memaklumkan banjir kilat turut melanda enam kawasan iaitu Terowong Tabung Haji, Terowong Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang.

Lokasi lain turut dilanda banjir kilat membabitan jalan dari arah Bulatan Kg Pandan menghala ke Jalan Sultan Ismail, jalan boleh dilalui tapi pergerakan kenderaan perlahan manakala air bertakung bawah terowong Jalan Tun Razak, menyebabkan kenderaan bergerak perlahan

"Air bertakung di bawah terowong Bulatan Cheras menghala ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di kedua dua arah, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan dan Jalan Raja Laut belakang bangunan MARA, Jalan di Masjid Al –Syakirin KlCC juga di naiki air.

"Jalan Genting Klang di lencongkan ke bulatan Pahang, terowong bawah bulatan Pahang di naiki air, bulatan Hishamuddin di tutup, Jalan Kuching susur naik ke Bulatan Segambut, Jalan Parlimen Ke Bulatan Datuk On," menurut hantaran berkenaan.

Media Baharu