PM minta peguam negara menghadap Agong

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM, 7 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memperjelas persoalan perundangan berhubung pelaksanaan titah tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjelasan diperlukan untuk meneliti implikasi perundangan berkaitan satu lagi kes 1MDB.
  • Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, pelaksanaan mesti ambil kira kedudukan undang-undang dan Badan Kehakiman.
  • Perkara bukan mempertikaikan kuasa pengampunan Agong, sebaliknya kebolehgunaan titah dalam konteks kes kedua perlu disiasat.
  • Peguam Negara perlu memperincikan penjelasan dan merujuk Badan Kehakiman untuk penentuan muktamad, bukan Perdana Menteri.

Penjelasan itu penting bagi meneliti implikasi perundangan yang timbul, khususnya berkaitan satu lagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan menerima dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kedudukan undang-undang serta penelitian Badan Kehakiman.

“Saya telah meminta supaya Peguam Negara segera menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk memohon ampun dan menjelaskan mengapa keputusan itu diterima bagi kes SRC, tetapi terdapat persoalan kerana ia turut melibatkan kes kedua, iaitu kes 1MDB,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Kebangsaan 2026, di sini.

Datuk Seri Anwar menegaskan, perkara itu bukan berkaitan pertikaian terhadap kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya melibatkan persoalan mengenai kebolehgunaan titah berkenaan dalam konteks kes kedua yang masih memerlukan penelitian perundangan.

Menurutnya, penjelasan dan penentuan muktamad berhubung implikasi undang-undang perkara itu perlu diperincikan oleh Peguam Negara dengan merujuk kepada Badan Kehakiman, dan bukannya diputuskan oleh Perdana Menteri.

“Soal kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak dipertikaikan. Perkara pertama adalah berkaitan kes SRC seperti yang dinyatakan dalam Lembaga Pengampunan. Persoalan yang berbangkit adalah mengenai kes kedua. Sama ada boleh dilaksanakan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Peguam Negara telah memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.