PUTRAJAYA, 10 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa ke program Ihya Ramadan anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya.
Program tersebut turut mendapat kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketibaan Datuk Seri Anwar sekitar pukul 12.10 tengah hari itu disambut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof serta timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Program Ihya Ramadan bertujuan sebagai wadah Perdana Menteri menyantuni warga PETRA di samping bersama-sama memanfaatkan bulan Ramadan dengan mengisi amalan kerohanian menerusi majlis ilmu yang penuh keberkatan.
Antara pengisian program termasuk Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh penceramah daripada JAKIM, Ustaz Nabil Ahmad bertajuk “Ramadan: Syukuri Nikmat Air dan Tenaga”.
Datuk Seri Anwar turut bersama warga PETRA untuk menunaikan solat Zohor berjemaah.
Sebelum itu, Perdana Menteri turut bersama pengurusan tertinggi PETRA membincangkan pelbagai perkara berkaitan pemantapan tata kelola, inisiatif reformasi serta pencapaian utama kementerian.