fb fb fb fb fb

PM lakukan kunjungan hormat terhadap Presiden China

BEIJING, 31 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden China Xi Jinping di Dewan Besar Rakyat di sini petang tadi.

Menurut laporan wartawan Syamimi Saripan, Perdana Menteri disambut Presiden Xi Jinping sebelum kedua-dua pemimpin memulakan mesyuarat yang berlangsung hampir sejam. 

Perbincangan tertumpu pada langkah-langkah baharu yang boleh diambil untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala, selain membincangkan pendekatan lebih konkrit dalam mengukuhkan perdagangan dan kerjasama politik. 

Turut bersama Anwar dalam kunjungan hormat itu; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.  

Selain itu; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pelancongan dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.  

Anwar antara pemimpin asing pertama melawat China dan bertemu  Xi selepas beliau dipilih semula sebagai Presiden China untuk penggal ketiga pada 10 Mac lalu.

(PM lakukan kunjungan hormat terhadap Presiden China)

Selesai pertemuan dengan XI, Anwar dan delegasinya mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhao Leji juga di Dewan Besar Rakyat.  

Perbincangan tertumpu pada kerjasama peringkat ahli Parlimen kedua-dua negara.  

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan rasmi sulungnya selama tiga hari di sini hingga esok bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala Kuala Lumpur-Beijing.  

Esok, hari penting bagi Perdana Menteri yang dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, Li Qiang, sebaik selesai upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat.

Perbincangan kedua-dua pemimpin esok akan tertumpu pada pemerincian langkah-langkah yang boleh diambil khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.  

Anwar dijangka menyentuh mengenai projek-projek yang akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.  

(PM lakukan kunjungan hormat terhadap Presiden China)

 

Media Baharu