
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membangkitkan isu pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang bersama kerajaan negeri.
- Wakil masyarakat Orang Asli hadir ke kediaman Perdana Menteri mengemukakan aduan mengenai pertikaian tanah dan penahanan penduduk.
- Tiga penduduk Orang Asli yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan oleh polis.
- Beliau memberi peringatan supaya isu diselesaikan secara adil dan berhemah menurut lunas undang-undang tanpa manipulasi.
Ia bagi mencari penyelesaian, susulan aduan diterimanya daripada wakil penduduk terbabit pada Jumaat.
Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, perkara itu dimaklumkan menerusi panggilan telefon dengan wakil masyarakat Orang Asli kampung berkenaan.
Komuniti itu terdahulu hadir di kediaman beliau bagi mengemukakan isu pertikaian tanah dan penahanan tiga penduduk.
Sementara itu, Perdana Menteri turut dimaklumkan, ketiga-tiga penduduk Orang Asli yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan pihak polis.
“Isu pertikaian tanah ini akan saya bangkitkan bersama kerajaan negeri memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa negeri.
“Saya memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasikan perkara ini sebaliknya diselesaikan secara adil dan berhemah mengikut lunas undang-undang,” katanya.