Peruntukan khas RM100,000 bantu kebajikan anggota polis Kuala Lumpur

Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Peruntukan khas sebanyak RM100,000 akan disalurkan kepada Polis Kuala Lumpur bagi menjaga kebajikan anggota polis yang bertugas lebih masa dalam menjayakan pelbagai acara dan aktiviti di Wilayah Persekutuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama erat antara DBKL dan PDRM penting untuk memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan selamat.
  • Hannah Yeoh mengumumkan peruntukan khas kepada Ketua Polis Kuala Lumpur untuk membantu kebajikan anggota yang bertugas lebih masa.
  • Pengumuman dibuat selepas perasmian KL Fiesta @ Uniti Merdeka di Dataran Merdeka.
  • Peruntukan itu dihargai sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan dan dedikasi anggota polis menjaga keselamatan awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan, kerjasama erat antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi faktor penting dalam memastikan pelaksanaan pelbagai program berjalan lancar serta selamat.

“Sepanjang tahun ini, kita telah menganjurkan pelbagai program termasuk KL Fiesta serta beberapa lagi aktiviti bagi menghidupkan semula Kuala Lumpur. Semua usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa komitmen dan sokongan padu daripada PDRM.

“Sehubungan itu, saya mengumumkan peruntukan khas Menteri berjumlah RM100,000 kepada Ketua Polis Kuala Lumpur bagi membantu kebajikan anggota polis yang telah banyak bertugas lebih masa demi memastikan kelancaran pelaksanaan program dan aktiviti di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada program perasmian KL Fiesta @ Uniti Merdeka di Dataran Merdeka hari ini.

Hannah berkata, peruntukan itu merupakan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan dan dedikasi anggota polis yang sentiasa komited menjaga keselamatan awam serta menyokong pelaksanaan program pembangunan dan pelancongan di ibu negara.

Terdahulu Hannah Yeoh merasmikan program KL Fiesta @ Uniti Merdeka yang telah berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini di Dataran Merdeka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.