fb fb fb fb fb

PM kecam kekejaman rejim Zionis, serang Gaza disifatkan tidak berperikemanusiaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Ogos -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyelar tindakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan rejimnya yang terus melancarkan serangan ke atas Gaza.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu perbuatan kejam, tidak berperikemanusiaan dan dan melampaui batas kewarasan.

Datuk Seri Anwar berkata, keganasan yang menyasarkan kanak-kanak, wanita, hospital serta sekolah di wilayah berkenaan dan pelbagai bentuk kezaliman jelas menunjukkan rejim Zionis sanggup menggunakan kebuluran dan sekatan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang.

"Ini bukan manusia, ini haiwan, orang sakit perlu ubat. Manakala ubatannya tidak dibenarkan untuk dibawa masuk. Saya sudah berusia 78 tahun belum pernah melihat, baca dan dengar zaman ini bahawa ada manusia sekejam itu.

“Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman! Zalim! Mereka boleh pertahankan bahawa semua anak-anak kecil (di Gaza) semuanya adalah Hamas, anak berusia dua tahun yang berlari pun dituduh Hamas. Ini adalah penyakit," katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana: Malaysiaku Bersama Gaza pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka, di sini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hadir sama Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

TETITIA YUSOFF